Jerebu: MAHB nasihat penumpang semak jadual penerbangan
MAHB berkata bahawa keadaan jerebu di Kuching adalah buruk dan jarak penglihatan ialah 2,000m pada jam 4 petang Khamis. - Foto Bernama
KUCHING: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menasihatkan penumpang supaya menyemak jadual penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing kerana keadaan jerebu di Kuching.

Menerusi catatan terbaru dalam laman rasmi Facebook, MAHB berkata bahawa keadaan jerebu di Kuching adalah buruk dan jarak penglihatan ialah 2,000m pada jam 4 petang Khamis.

"Setakat ini, lima lencongan ketibaan penerbangan dan sembilan kelewatan penerbangan dilaporkan," katanya.

Sehingga 5 petang Khamis, menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarikei ialah 104 berbanding 99 pada 1 tengah hari.
Tiga lagi kawasan di Sarawak yang masih mencatatkan IPU tidak sihat ialah Samarahan (167), Sri Aman (154) dan Kuching (146).