Sabtu, 27 Disember 2014

Pesawat AirAsia dari Surabaya ke Singapura dilapor hilang

Pesawat AirAsia dari Surabaya ke Singapura dilapor hilangSebuah pesawat penerbangan AirAsia dari Surabaya ke Singapura hilang komunikasi dengan menara kawalan pada Ahad.
KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat penerbangan AirAsia dari Surabaya ke Singapura hilang komunikasi dengan menara kawalan pada Ahad.

Pesawat QZ8501 itu terputus hubungan dengan menara kawalan Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan, menurut kenyataan syarikat penerbangan tersebut.

“AirAsia Indonesia mengesahkan penerbangan QZ8501 dari Surabaya ke Singapura telah terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 0724 pagi ini.

“Pada ketika ini, kami tidak dapat memberikan butiran lanjut berhubung status penumpang dan kru pesawat.”



Flightradar24 dalam tweetnya melaporkan pesawat tersebut hilang komunikasi dengan menara kawalan di Laut Jawa di antara Pulau Kalimantan dan Pulau Jawa.



Dalam perkembangan sama, Direktor Angkutan Udara Kementerian Perhubungan Indonesia, Djoko Murjatmojo mengesahkan pesawat tersebut hilang dalam pemantauan radar.

"Ketika ini saya berada di menara kawalan untuk menunggu laporan yang masuk."

Pihak kementerian, menurutnya, akan memberikan keterangan rasmi berhubung kehilangan pesawat AirAsia tersebut.

Penerbangan QZ8501 itu menggunakan pesawat Airbus 320 dengan nombor pendaftaran PK-AXC.

Pesawat membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada jam 5.20 pagi dan sepatutnya mendarat di Singapura pada jam 8.30 pagi waktu tempatan.

Sejurus sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan, pesawat itu dilaporkan meminta laluan berbeza.

Stesen TV Indonesia Kompas TV melaporkan pesawat tersebut membawa 149 rakyat Indonesia, tiga rakyat Korea, dan masing-masing seorang rakyat Singapura, British dan Malaysia.

Daripada jumlah itu, 138 ialah dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi.

AirAsia telah menyediakan Pusat Panggilan Kecemasan di nombor +622129850801untuk keluarga dan rakan kru serta penumpang pesawat tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes melalui tweetnya memberitahu satu kenyataan terbaharu akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Kami akan keluarkan satu lagi kenyataan nanti. Terima kasih atas ingatan dan doa. Kita harus tabah.”

Posted on 9:14 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

Khamis, 25 Disember 2014

Muhyiddin arah tingkatkan aset udara, air dan udara di Kelantan

Muhyiddin arah tingkatkan aset udara, air dan udara di KelantanTimbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan keperluan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang keadaan banjirnya disifatkan sebagai serius. -Gambar fail
KOTA BAHARU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan keperluan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang keadaan banjirnya disifatkan sebagai serius.

Beliau berkata arahan itu diputuskan setelah beliau mendapat taklimat terkini tentang bencana alam itu, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa di sini, hari ini untuk melihat sendiri situasi banjir di negeri ini.

"Daripada taklimat tadi, kita dapati ia masih tidak mencukupi kerana banjir ini luar jangkaan. Bot yang disediakan mungkin tak cukup, helikopter, telah kita sediakan tujuh... bilangan masih tidak memadai.

"Sebab itu saya telah beri arahan supaya aspek logistik dipertingkatkan lagi di mana aset seperti helikopter, bot tambahan akan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1, di sini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Negera Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Posted on 9:57 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

kini:Disember 26, 2014 

Henti sebar berita palsu tentang keretakan Empangan Batu - Azmin AliMOHAMED AZMIN: Saya minta berita-berita palsu seperti ini dihentikan kerana ia boleh menimbulkan keadaan yang tidak harmoni di dalam masyarakat dan menimbulkan kebimbangan. -Gambar fail
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hari ini menyeru pihak tertentu agar menghentikan perbuatan menyebarkan berita palsu ketika negara berdepan bencana banjir teruk yang kian meruncing di negeri-negeri di Pantai Timur.

Mohamed Azmin mengulas khabar angin kononnya kerajaan Selangor telah melepaskan air dari Empangan Batu ekoran parasnya yang terlalu tinggi dan struktur binaan yang mengalami rekahan.

Mohamed Azmin berkata penyebaran berita palsu seperti itu tidak membantu situasi yang sedang dihadapi sekarang.

“Mulai semalam, tersebar berita palsu bahawa empangan Batu mengalami keretakan dan pelepasan air telah dibuat.

“Saya minta berita-berita palsu seperti ini dihentikan kerana ia boleh menimbulkan keadaan yang tidak harmoni di dalam masyarakat dan menimbulkan kebimbangan.

"Saya ingin menegaskan bahawa Empangan Batu adalah di bawah kawalan pejabat pengurusan Lembaga Sungai Klang, di bawah pengurusan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Bukannya JPS Selangor,” tegasnya dalam sidang media hari ini.

Tambahnya lagi, JPS Wilayah Persekutuan telah mengesahkan bahawa tiada pelepasan air dilakukan pada 25 dan 26 Disember seperti berita yang disebarkan.

“JPS Wilayah Persekutuan juga mengesahkan tiada berlaku keretakan atau apa-apa kerja pembaikan empangan seperti yang disebarkan.

“Saya berharap berita ini dapat dihentikan kerana ia tidak membantu situasi yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Berita yang tersebar melalui laman media sosial dan aplikasi Whatsapp sejak semalam itu meminta penduduk di sekitar kawasan itu mengalihkan kenderaan masing-masing ekoran pelepasan air tersebut.

Posted on 9:48 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

Khamis, 15 Mei 2014

Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai tahun ini, kata Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Gambar fail.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai tahun ini.
Beliau berkata, menerusi pelaksanaan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada 1 April ini, tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.
"(Akan) Ada bentuk penilaian di peringkat sekolah. PT3 ini akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional.
"Di samping PT3, kemasukan ke sekolah tersebut juga akan menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka," katanya.
Muhyidddin yang juga menteri pendidikan berkata, demikian pada sidang media khas yang turut dihadiri penggiat utama sistem pendidikan negara seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, pihak sekolah akan memaklumkan keputusan penilaian prestasi seseorang murid pada akhir tahun hasil pentaksiran yang dibuat dan murid itu boleh mohon slip keputusan untuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh.
Muhyiddin berkata, PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan.
"Mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja.
"Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan atau kajian kes," katanya.
Beliau berkata, melalui PT3, sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran itu berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang ketara disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).
Katanya, LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan. - Bernama, 18 Mac, 2014

Posted on 8:57 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

Isnin, 24 Mac 2014

Kapal misil pemusnah Amerika Syarikat digerakkan ke Lautan Hindi selepas kawasan pencarian diperluaskan dalam operasi mengesan pesawat MH370. Gambar fail.



Dengan bukti menunjukkan pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200ER yang hilang masih utuh, pegawai Amerika Syarikat tidak menolak kemungkinan bahawa penerbangan MH370 diterbangkan ke satu tempat rahsia supaya ia boleh digunakan di kemudian hari.
Tiada sebarang kesan atau serpihan ditemui di darat atau laut dapat dikaitkan dengan pesawat yang membawa 239 orang yang hilang dalam penerbangan ke Beijing Sabtu lalu.
"Saya sangat berminat untuk menyelesaikan misteri ini supaya kita dapat menolak kemungkinan, walaupun kecil bahawa pesawat ini boleh digunakan untuk tujuan jahat terhadap kita pada masa akan datang,"ABC News memetik pegawai Amerika sebagai berkata.
Pegawai itu berkata, "semua aset perisikan kita" sedang digunakan untuk menyelesaikan perkara ini.
Penyiasat yang sedang mencari pesawat penumpang MAS itu berkata, mereka tidak boleh menolak kemungkinan rampasan dan sedang melihat sama ada salah seorang juruterbang pesawat atau anak-anak kapal terlibat.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata semalam bahawa penyiasat tidak tahu apa yang berlaku kepada pesawat itu walaupun sudah seminggu dicari secara besar-besaran.
Para pegawai Amerika yang diberi taklimat mengenai siasatan diyakinkan bahawa pesawat itu terus menghantar isyarat "ping" kepada satelit lama selepas transponder berhenti menghantar isyarat dan hilang daripada radar.
Pegawai memberitahu ABC News bahawa dua daripada sistem komunikasi pesawat dimatikan secara berasingan dan ia dilakukan secara manual.
"Terdapat empat atau lima kemungkinan yang kita sedang teroka," kata Hishammuddin pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.
"Ia boleh jadi dilakukan dengan sengaja. Ia boleh dilakukan dalam keadaan terpaksa. Ia juga boleh berlaku kerana letupan. Sebab itu saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Kami sedang meninjau semua kemungkinan," katanya.
Ketika ditanya penyiasat sedang mengkaji sama ada salah seorang daripada dua juruterbang pesawat atau anak kapal terlibat dalam apa jua yang terjadi kepada pesawat itu, beliau berkata:"Kami sedang melihat kemungkinan itu."
"Siasatan ke atas juruterbang sedang dijalankan," katanya menjawab soalan media, tetapi berkata mereka belum lagi menyiasat rumah mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari Yahya menambah kepada spekulasi bahawa kehilangan pesawat adalah hasil daripada plot bukannya bencana kegagalan sistem pesawat udara.
"Kami tidak boleh mengesahkan tidak ada rampasan.
"Seperti yang saya katakan dari awal, dan saya amat konsisten, kita melihat semua kemungkinan," katanya.
Jet penumpang berusia 11 tahun itu hilang awal pagi Sabtu lalu, kira-kira sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing. Ia hilang daripada radar pada 01:30 waktu tempatan.
Selepas mencari di timur Semenanjung Malaysia di Teluk Thailand dan Laut China Selatan, banyak perhatian kini beralih beratus-ratus batu ke barat iaitu di Selat Melaka dan Lautan Hindi.
Pegawai percaya ia mungkin diterbangkan ke barat kerana radar tentera Malaysia mengesan isyarat selepas pesawat itu hilang dan mereka percaya ia mungkin pesawat MH370.
"Saya akan menjadi orang yang paling gembira jika kita boleh mengesahkan bahawa (radar tentera blip) adalah MH370 kerana kita boleh menggerakkan semua aset kita ke Selat Melaka.
"Tetapi buat masa ini kita tidak boleh berbuat demikian," kata Hishammuddin semalam.
Penyiasat cuba untuk mengumpulkan data daripada satelit yang mempunyai isyarat 'ping' oleh pesawat yang hilang dengan harapan ia boleh membantu dalam menentukan kedudukan akhir pesawat.
Pegawai Vietnam menambahkan butir terperinci kepada misteri pesawat semalam dengan memberitahu ABC News apabila MH370 meninggalkan ruang udara Malaysia dan gagal berhubung dengan pengawal trafik udara Vietnam, Vietnam meminta pesawat lain di kawasan itu yang menuju ke Jepun untuk menghubungi MH370.
Pesawat ke Jepun itu melaporkan kepada pengawal Vietnam MH370 hanya memberikan "isyarat buzz" kembali, tetapi tidak ada suara. Dan kemudian isyarat itu mati begitu sahaja.
Kementerian Luar Negeri Vietnam tidak memberitahu bila komunikasi itu berlaku.
Sumber memberitahu Reuters semalam bahawa siasatan memberi tumpuan lebih kerana penerbangan itu disyaki sengaja ditukarkan arah, kerana bukti terakhir menunjukkan ia di sekitar kepulauan Andaman.
Dalam penerangan lebih terperinci melalui radar tentera yang dibuat secara terbuka, dua sumber memberitahu Reuters pesawat tidak dikenali disyaki sebagai MH370 didapati melalui laluan yang biasa digunakan apabila ia kali terakhir dikesan pada awal hari Sabtu, di barat laut Malaysia.
Penerbangan menuju ke Laut Andaman dan ke arah Teluk Bengal - hanya mungkin dibuat secara sengaja, sama ada dengan memandu jet Boeing 777-200ER secara manual atau dengan auto-pilot.
Sumber penyiasatan ketiga pula berkata, penyiasatan memberi tumpuan lebih kepada teori seseorang yang tahu bagaimana untuk memandu kapal terbang sengaja mengarahkan penerbangan itu beralih ke beratus-ratus batu di luar laluan Kuala Lumpur ke Beijing.
"Apa yang kita boleh katakan adalah kami sedang melihat ia disabotaj, dengan rampasan masih menjadi keutamaan," kata sumber itu, seorang pegawai kanan polis Malaysia.
Sebagai salah satu misteri yang paling membingungkan dalam sejarah moden penerbangan yang tidak dapat diselesaikan selepas hampir seminggu, bukti radar terkini selaras dengan perkembangan pencarian pesawat ke barat Malaysia, mungkin sejauh Lautan Hindi.
"Ia pemahaman saya berdasarkan beberapa maklumat baru yang tidak semestinya muktamad - tetapi maklumat baru - satu carian tambahan kawasan boleh dibuka di Lautan Hindi," kata jurucakap Rumah Putih, Jay Carney kepada pemberita di Washington.
Carney tidak menyatakan jenis maklumat yang baru itu.
Satelit mengesan denyutan elektronik pesawat selepas ia hilang pada Sabtu, tetapi tidak memberi sebarang isyarat segera maklumat tentang ke mana arah tuju jet dan keadaannya, kata dua sumber yang rapat dengan siasatan tersebut pada hari Khamis.
Pakar AS masih memeriksa data untuk melihat jika apa-apa maklumat tentang lokasi terakhir boleh diambil, kata sumber yang rapat kepada siasatan kepada Reuters.
Isyarat "ping" menunjukkan sistem penyelesaian masalah penyelenggaraannya dihidupkan dan bersedia untuk berkomunikasi dengan satelit, menunjukkan pesawat sekurang-kurangnya mampu berkomunikasi selepas kehilangan hubungan dengan pengawal trafik udara.
Sistem ini menghantar ping itu kira-kira sejam sekali, menurut sumber, yang berkata lima atau enam kali. Bagaimanapun, ping sahaja tidak akan memberikan sebarang bukti bahawa pesawat itu di udara atau di atas tanah, kata mereka.
Ketua tentera udara Malaysia, Tan Sri Rodzali Daud berkata pada Rabu pesawat yang mungkin kapal terbang yang hilang diplotkan pada radar tentera di 2:15, 320 km barat laut Pulau Pinang yang berada di luar pantai barat Malaysia.
Kedudukan ini menunjukkan had radar tentera Malaysia di negara ini, kata sumber keempat yang biasa dengan siasatan kepada Reuters.
Malaysia berkata, ia meminta bantuan negara jiran untuk mendapatkan data radar mereka, tetapi tidak mengesahkan menerima sebarang maklumat. Indonesia dan pihak berkuasa Thailand berkata pada Jumaat, mereka masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Malaysia mengenai data radar itu.
Hakikat bahawa kapal terbang - jika ia adalah MH370 - terputus hubungan dengan kawalan lalu lintas udara dan tidak dapat dilihat melalui radar awam menunjukkan seseorang di atas kapal itu mematikan sistem komunikasi, kata dua sumber pertama itu.
Mereka juga memberikan butir baru pada arah ke mana hala tuju pesawat yang tidak dikenali itu - berikutan koridor penerbangan yang dikenal pasti pada peta digunakan oleh juruterbang sebagai N571 dan P628 - laluan yang biasa diambil oleh kapal terbang komersial yang terbang dari Asia Tenggara ke Timur Tengah atau Eropah.
Polis Malaysia berkata, mereka sedang menyiasat sama ada mana-mana penumpang atau anak kapal pesawat itu mempunyai masalah peribadi atau psikologi yang mungkin memberi penerangan tentang misteri itu, bersama-sama dengan kemungkinan rampasan, sabotaj atau kegagalan mekanikal.
Kapal dan pesawat kini mencari di kawasan yang luas dan diperluaskan lagi ke kedua-dua belah semenanjung Malaysia dan Laut Andaman.
Tentera Laut Amerika Syarikat menghantar pesawat P-8A Poseidon untuk membantu carian di Selat Melaka, satu selat yang sibuk memisahkan semenanjung Malaysia dengan pulau Sumatera, Indonesia. Mereka  mengerahkan pesawat Tentera Laut P-3 Orion ke kawasan perairan itu.
Pegawai pertahanan AS memberitahu Reuters, Tentera Laut Amerika Syarikat yang dilengkapi peluru berpandu pemusnah, USS Kidd, menuju ke Selat Melaka, selepas diminta oleh kerajaan Malaysia. The Kidd membuat pencarian di kawasan selatan Teluk Thailand, bersama kapal pemusnah USS Pinckney.
India mengerahkan kapal, kapal terbang dan helikopter dari Andaman dan Nicobar, di persimpangan Teluk Bengal dan Laut Andaman, kata seorang jurucakap tentera India, Harmeet Singh pada Jumaat.
Singh berkata, dua pesawat Dornier mencari di daratan Andaman dan Pulau-pulau Nicobar yang berkeluasan 720 km dan 52 km.
China, yang mempunyai lebih daripada 150 rakyat di atas kapal pesawat yang hilang, menggunakan empat kapal perang, empat kapal pengawal pantai, lapan pesawat dan menggunakan 10 satelit di kawasan carian yang luas. Media Cina memberitahu, penggunaan kapal itu sebagai armada menyelamat China terbesar yang pernah digunakan.
Boeing 777 mempunyai rekod keselamatan terbaik berbanding mana-mana pesawat komersial yang sedang dalam perkhidmatan. Hanya kemalangan maut sebelum ini yang berlaku ialah pada 6 Julai tahun lalu apabila Asiana Airlines Penerbangan 214 melanda tembok laut ketika cuba mendarat di San Francisco. Tiga meninggal dunia dalam kejadian itu. - 15 Mac 2014












Posted on 2:10 PG by sidiazzehairulazhar

No comments


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
   
juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Faizah Khan akan disoal siasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam usaha mencari pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal tersebut.
Daily Mirror melaporkan ejen perisikan Amerika itu akan menerajui siasatan berhubung latar belakang juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah (gambar) dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid.
Bagaimanapun tabloid itu memetik sumber yang rapat dengan siasatan sebagai berkata bahawa semakan terhadap Fariq hampir selesai dan setakat ini tidak menunjukkan sebarang tanda yang dapat membantu siasatan, yang bermaksud Zaharie kini menjadi tumpuan.
"Nampaknya tiada apa dalam kehidupan Fariq yang dapat menjurus kepada motif rampasan.
"Bagaimanapun kehidupan peribadi Zaharie jauh lebih rumit dan kami dalam proses untuk membongkarnya,” kata sumber kepada Daily Mirror.
Siasatan FBI akan cenderung kepada kehidupan peribadi Zaharie termasuk hubungannya dengan keluarga dan kecenderungannya terhadap politik, menurut laporan itu.
FBI juga berminat untuk menyiasat panggilan telefon yang diterima Zaharie oleh seorang wanita misteri yang menggunakan identiti nombor telefon bimbit palsu dua minit sebelum berlepas.
Tiga simulator penerbangan di rumah Zaharie iaitu Flight Simulator X, Flight Simulator 9 dan X-Plane 10 diharap dapat menjadi petunjuk kepada FBI, kataDaily Mail.
Katanya, cakera keras simulator berkenaan turut diperiksa FBI bagi mendapatkan petunjuk mengenai apa yang berlaku atau fail yang dipadamkan.
Polis Diraja Malaysia pada Ahad menafikan laporan akhbar British, Daily Mail mengenai panggilan misteri dengan menyatakan ia spekulasi semata-mata.‎ – 24 Mac, 2014.

Posted on 2:02 PG by sidiazzehairulazhar

No comments

Sabtu, 8 Mac 2014


Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

SEPANG - Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan sebanyak 191 bahagian sayap parti itu akan mengadakan solat hajat ekoran kehilangan pesawat MH370, bermula hari ini.

Rakyat Malaysia yang beragama Islam juga diseru bersama-sama mengadakan solat hajat dan terus berdoa untuk keselamatan penumpang serta anak kapal yang masih hilang itu.

"Semua keluarga yang terbabit dalam perkara itu, kita harap mereka tabah.

"Kita bersama rakyat dan wanita Umno tidak akan putus berdoa.

"Kita minta dan akan lakukan solat hajat untuk bagi kekuatan kepada keluarga dan mangsa," katanya pada pemberita ketika ditemui di balai pelepasan KLIA, di sini, hari ini.

Sehingga kini, pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal yang menuju ke Beijing masih belum ditemui.

Dalam pada itu, Shahrizat juga menggesa semua pihak menghentikan spekulasi berhubung kejadian tersebut.

"Kerajaan tidak lambat, mereka hanya nak pastikan berita itu betul-betul sahih.

"Apa yang tersebar dan menjadi viral bukan perkara yang baik di saat ini.

"Saya rasa itu tak benar, sebelum pihak berkuasa buat pengumuman rasmi, mereka mesti sahkan kesahihan walaupun lambat sikit," katanya.

Posted on 10:46 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments



DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

SHAH ALAM - Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin hari ini menasihati masyarakat agar tidak menjadikan tragedi MAS sebagai bahan jenaka, sebaliknya menyeru agar semua rakyat Malaysia terus berdoa bagi keselamatan mangsa.

Menurutnya, sekalipun kita (rakyat) tiada semangat patriotik, kita wajar mampunyai nilai kemanusiaan serta merasa simpati terhadap tragedi yang menimpa itu.

"Tragedi MAS yang terhempas bukan bahan lawak ataupun senda gurau.

"Hanya yang dangkal perasaan yang boleh menjadi ia satu mainan. Islam mengajar kita semua berdoa untuk keselamatan dan takziah bagi yang kemalangan," tulisnya menerusi laman sosial Facebook miliknya.

MH370 hilang dari radar dengan 239 orang berada di atas kapal dalam penerbangan ke Beijing selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi.

Ia kemudiannya hilang dari radar pada pukul 1.30 pagi.

Sehingga kini, mangsa dan pesawat MH370 masih belum ditemui.

Posted on 10:42 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

Jumaat, 7 Mac 2014

Paparan penerbangan sebuah laman trafik udara menyatakan pesawat MH370 mendarat jam 6.10 pagi. Menurut MAS, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pagi tadi selepas pesawat tersebut putus hubungan dengan pusat kawalan udara. – Gambar flightradar24.com, 8 Mac, 2014.
Operasi menyelamat dilancarkan sebentar tadi selepas sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang membawa 227 penumpang menuju ke Beijing dilaporkan hilang oleh pihak pengawal trafik udara pagi ini.
Menurut MAS, penerbangan MH370 putus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang jam 2.40 pagi ini.
Pesawat B777-200 tersebut berlepas daripada Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam semalam dan dijangka mendarat pada 6.30 pagi ini.

"Penerbangan itu membawa 227 penumpang (termasuk 2 kanak-kanak), dan 12 anak kapal," kata MAS dalam kenyataannya.
"Malaysia Airlines sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang sudah mengaktifkan pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan pesawat itu," tambahnya.
Sementara itu, Reuters memetik laporan agensi berita Xinhua berkata hubungan radar dengan pesawat tersebut dikesan hilang ketika ia di ruang udara dikawal Vietnam awal pagi hari ini.
Pesawat itu dilaporkan tidak memasuki ruang udara China dan tidak melakukan sebarang komunikasi dengan pihak kawalan udara.
MAS berkata pihaknya akan memberitahu perkembangan terkini tentang situasi tersebut. Orang awam boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk sebarang maklumat.
Dalam kenyataannya, MAS berkata ahli keluarga penumpang boleh hadir ke Bangunan Sokongan Fasiliti di Zon Selatan Sokongan KLIA.
Untuk petunjuk jalan sila hubungi 03 8787 1269. – 8 Mac, 2014.

Posted on 8:52 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

Ahad, 12 Januari 2014


POKOK SENA - Kira-kira 200 warga Nepal yang bekerja di kilang papan di sini, hampir mencetuskan kekecohan di depan kilang berkenaan bagi mendesak majikan memanggil bomoh atau sami kononnya untuk menghalau hantu yang didakwa menyebabkan kematian empat rakan mereka dalam tempoh sebulan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Kota Setar, Deputi Superintenden Mat Akhir Jaafar berkata, pekerja terbabit mengadakan perhimpunan bermula jam 8.30 malam kelmarin, kerana mereka dipercayai bimbang mungkin menjadi mangsa seterusnya.

“Kebanyakan warga Nepal yang bekerja di situ masih memegang kepercayaan karut dan menganggap hantu menyebabkan rakan mereka mati dalam masa singkat. Mujurlah perhimpunan itu tidak sampai menjadi rusuhan," katanya.

Mat Akhir berkata, dalam perhimpunan itu, seorang daripada pekerja kilang mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sementara itu  katanya, bagi mendedahkan kejadian sebenar pihaknya turut membawa wakil pekerja asing itu ke HSB bagi mendapatkan penerangan lanjut daripada doktor mengenai punca kematian rakan mereka.

“Dalam perjumpaan itu, doktor memaklumkan kepada mereka bahawa punca sebenar kematian rakan mereka ialah disebabkan masalah kesihatan manakala seorang lagi disebabkan kemalangan,” katanya.

Mat Akhir berkata, dalam pada itu beliau turut difahamkan kebanyakan pekerja di kilang berkenaan sering mengambil minuman keras tidak berjenama hingga berkemungkinan boleh membawa maut.

Tambah beliau, di samping itu, faktor lain antaranya  pemakanan, kediaman serta persekitaran yang tidak baik menyebabkan kehidupan mereka terdedah kepada masalah kesihatan.

Bagaimanapun, bagi memenuhi permintaan dan memuaskan hati pekerja warga asing itu, pihak pengurusan kilang turut membenarkan mereka menggunakan khidmat bomoh atau sami bagi menghalau hantu yang menurut kepercayaan mereka wujud di sekitar kawasan kediaman itu.

Posted on 11:18 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

HAH ALAM- Guru Besar SK Kajang Utama, Kajang dihukum penjara 3 tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan, meminta serta memperoleh suapan RM3,000, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim, M. Bakri Abdul Majid terhadap Abdul Samad Abdul Ghani, 50.

M. Bakri dalam penghakimannya berkata, pembelaan Abdul Samad adalah rekaan semata-mata supaya disesuaikan bagi menyatakan wang rasuah tersebut untuk sumbangan sekolah.

"Mahkamah tidak terima pembelaan tersebut berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan termasuklah keterangan pakar yang mengesahkan terdapat pindaan pada borang permintaan sumbangan,"katanya.

Lelaki itu didakwa meminta dan memperoleh rasuah RM3,000 daripada pengusaha kantin, Zainun Hussain bagi menyambung kontrak kantin sekolah bagi sesi 2013.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di  SK Kajang Utama, Kajang, jam 11 pagi pada 8 dan 14 November 2011.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaan Raya, Mukhriz Mat Rus mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Peguam, Hazman Harun  yang mewakili anak guamnya memohon penangguhan hukuman penjara untuk memfailkan rayuan.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan jaminan RM8,000.

Posted on 11:16 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments


KEBANYAKAN media sosial dan blogger kini sibuk memperkatakan fenomena pelik yang berlaku di seluruh dunia dan didakwa sebagai tanda awal kiamat.

Negara beriklim tropika dan panas mula menerima kesan akibat perubahan cuaca mendadak pada tahun ini dan sebahagian kawasan seperti Mesir serta Vietnam turut dilitupi salji tebal.

Perubahan magnet pada kerak bumi menyebabkan Kutub Utara bergerak dengan lebih cepat ke arah Siberia untuk berada pada kedudukan 40 darjah.

Beberapa kajian mendapati pergerakan itu berlaku semakin laju iaitu pada jarak 42 km sebulan dan dianggarkan berganjak sebanyak 2 km sehari pada 2013.

Ia merentasi garisan Khatulistiwa untuk berada pada kedudukan 40 darjah di selatan.

Jika keadaan itu berlaku, seluruh permukaan bumi berkemungkinan akan berubah seperti dipaparkan dalam filem sains fiksyen berjudul '2012'.

Paling memeranjatkan, kawasan Amerika Selatan terutamanya Brazil didakwa akan menjadi Kutub Utara manakala India menjadi Kutub Selatan.
Bagaimana dengan nasib Malaysia? Ia dikatakan akan membeku dan berada sebaris dengan India, sekali gus meletakkan garisan Khatulistiwa berada di Antartika.

Bandar pesisir pantai bakal tenggelam dan Australia Barat dipercayai turut mengalami nasib sama serta setengah negara mengalami waktu siang atau malam lebih panjang.

Fenomena medan kutub bumi menyongsang dikhuatiri mengakibatkan bencana alam lebih dahsyat seperti taufan, gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Selain itu, ia juga akan memberi kesan besar kepada ekosistem dan migrasi haiwan yang selama ini bergantung kepada perubahan musim dan iklim di sesuatu kawasan.

Medan magnet bumi juga akan menjadi lemah dan terdedah kepada fenomena ribut suria serta sinaran kosmik iaitu partikel bertenaga tinggi dan gelombang elektromagnet dari angkasa lepas.

Pergerakan kutub memang sedang berlaku dan ia boleh dilihat menerusi kejadian bencana alam yang didakwa berpunca daripada pemanasan global dan perubahan iklim secara mendadak sejak akhir-akhir ini.

Pelbagai teori didedahkan menyebabkan saintis menganggarkan medan magnet akan menyongsang dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan pergerakan kutub yang semakin laju.

Adakah keadaan itu akan berlaku atau ia hanya sebuah lagi spekulasi seperti ramalan kiamat 2012 yang digembar-gemburkan pada tahun lalu?

Kiamat menurut Islam

Beberapa hadis dan ayat al-Quran ada menjelaskan persoalan mengenai hari kiamat:

Ibnu Umar RA berkata, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan ALLAH iaitu:

1) Tiada mengetahui apa tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan ALLAH.

2) Tiada siapa mengetahui apa akan terjadi esok hari melainkan ALLAH.

3) Tiada seorang pun mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan ALLAH.

4) Tiada seorang pun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan ALLAH.

5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan ALLAH.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Adakah fenomena pelik melibatkan perubahan ekstrem cuaca dunia dan bencana alam dahsyat adalah satu peringatan atau petanda kepada manusia di akhir zaman?

Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, ‘Tidak akan tiba hari kiamat sehingga ilmu pengetahuan (agama) dilenyapkan, banyak gempa bumi, masa saling berdekatan (semakin singkat), banyak timbul fitnah, banyak huru-hara iaitu pembunuhan, hingga harta benda melimpah ruah di antara kamu.'

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Sebagai orang Islam, kita wajib percaya bahawa hari kiamat merupakan Rukun Iman ke- 5 akan tiba seperti diterangkan dalam al-Quran.

ALLAH SWT berfirman :
Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba.” Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang bari kiamat itu adalah di sisi ALLAH, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Al-A’raf, Ayat 187)


Dan juga pada ayat:
Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi ALLAH.” Dan tahukah kamu (Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.
(Surah Al-Ahzab, Ayat 63)

Posted on 11:14 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

Rabu, 1 Januari 2014


Tamat sudah 'honey moon' buat anda bergelar pelajar. Tidak ada lagi istilah rehat panjang, pulang ke kampung dan bekerja sampingan kerana bermula esok semua sekolah dibuka untuk memulakan sesi pembelajaran seperti biasa.

MASA DEPAN
Antara mahu dan tidak mahu, anda perlu rajin ke sekolah. Sekolah merupakan lokasi yang akan menentukan hala tujuan anda pada masa hadapan. Sama ada anda anak orang berada atau dari keluarga sederhana, peraturan tetap sama. Silibus pembelajaran yang dipelajari tetap sama. Penglibatan kokurikulum turut perlu dititikberatkan dan begitu juga dengan kegiatan persatuan pakaian seragam. Ada sebab mengapa pihak sekolah mahu anda bergiat aktif ketika di sekolah. Bukan semata-mata mahu melahirkan pelajar yang hanya cemerlang di sekolah tetapi mahu memberi pelajar mendapat tempat di universiti.

KERJA SEKOLAH
Ramai pelajar silap akan istilah cuti sekolah. Kebanyakan pelajar mengeluh kerana guru memberi banyak kerja sekolah untuk disiapkan sepanjang cuti sekolah. Cuti sekolah bukan bermaksud anda bercuti tanpa tidak menyentuh buku, alat tulis mahupun mengulangkaji pelajaran. Cuti sekolah bermaksud anda tidak perlu ke sekolah untuk berjumpa guru tetapi buku tetap diulangkaji. Oleh demikian, jangan lupa siapkan kerja sekolah, kerja khusus, projek dan sebagainya untuk dihantar pada keesokan hari.

TEPIS MALAS
Sememangnya, cuti sekolah dua minggu yang berlalu ini memberi satu perasaan baru untuk memulakan persekolah. Rasa malas untuk bangun awal, mengemas beg, menyediakan pakaian seragam yang bersih dan sebagainya dijadikan alasan kuat untuk anda malas lakukan. Anda perlu tahu bahawa setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab tersendiri. Meskipun anda belum masuk ke dunia pekerjaan tetapi seorang pelajar juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dibuat. Jika anda melakukan tugas seperti seorang pelajar, ganjaran anda dapat dilihat satu hari kelak. Pekerjaan yang baik, pendapatan yang selesa dan sebagainya bakal anda terima.

Ayuh bangkit dan bersiap siaga untuk kembali ke sekolah kerana di sekolah adalah lokasi terbaik untuk anda mencapai cita-cita pada masa hadapan. Selamat kembali dan selamat belajar!

Posted on 4:19 PG by sidiazzehairulazhar

No comments