Tamat sudah 'honey moon' buat anda bergelar pelajar. Tidak ada lagi istilah rehat panjang, pulang ke kampung dan bekerja sampingan kerana bermula esok semua sekolah dibuka untuk memulakan sesi pembelajaran seperti biasa.

MASA DEPAN
Antara mahu dan tidak mahu, anda perlu rajin ke sekolah. Sekolah merupakan lokasi yang akan menentukan hala tujuan anda pada masa hadapan. Sama ada anda anak orang berada atau dari keluarga sederhana, peraturan tetap sama. Silibus pembelajaran yang dipelajari tetap sama. Penglibatan kokurikulum turut perlu dititikberatkan dan begitu juga dengan kegiatan persatuan pakaian seragam. Ada sebab mengapa pihak sekolah mahu anda bergiat aktif ketika di sekolah. Bukan semata-mata mahu melahirkan pelajar yang hanya cemerlang di sekolah tetapi mahu memberi pelajar mendapat tempat di universiti.

KERJA SEKOLAH
Ramai pelajar silap akan istilah cuti sekolah. Kebanyakan pelajar mengeluh kerana guru memberi banyak kerja sekolah untuk disiapkan sepanjang cuti sekolah. Cuti sekolah bukan bermaksud anda bercuti tanpa tidak menyentuh buku, alat tulis mahupun mengulangkaji pelajaran. Cuti sekolah bermaksud anda tidak perlu ke sekolah untuk berjumpa guru tetapi buku tetap diulangkaji. Oleh demikian, jangan lupa siapkan kerja sekolah, kerja khusus, projek dan sebagainya untuk dihantar pada keesokan hari.

TEPIS MALAS
Sememangnya, cuti sekolah dua minggu yang berlalu ini memberi satu perasaan baru untuk memulakan persekolah. Rasa malas untuk bangun awal, mengemas beg, menyediakan pakaian seragam yang bersih dan sebagainya dijadikan alasan kuat untuk anda malas lakukan. Anda perlu tahu bahawa setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab tersendiri. Meskipun anda belum masuk ke dunia pekerjaan tetapi seorang pelajar juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dibuat. Jika anda melakukan tugas seperti seorang pelajar, ganjaran anda dapat dilihat satu hari kelak. Pekerjaan yang baik, pendapatan yang selesa dan sebagainya bakal anda terima.

Ayuh bangkit dan bersiap siaga untuk kembali ke sekolah kerana di sekolah adalah lokasi terbaik untuk anda mencapai cita-cita pada masa hadapan. Selamat kembali dan selamat belajar!