Ahad, 12 Januari 2014


POKOK SENA - Kira-kira 200 warga Nepal yang bekerja di kilang papan di sini, hampir mencetuskan kekecohan di depan kilang berkenaan bagi mendesak majikan memanggil bomoh atau sami kononnya untuk menghalau hantu yang didakwa menyebabkan kematian empat rakan mereka dalam tempoh sebulan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Kota Setar, Deputi Superintenden Mat Akhir Jaafar berkata, pekerja terbabit mengadakan perhimpunan bermula jam 8.30 malam kelmarin, kerana mereka dipercayai bimbang mungkin menjadi mangsa seterusnya.

“Kebanyakan warga Nepal yang bekerja di situ masih memegang kepercayaan karut dan menganggap hantu menyebabkan rakan mereka mati dalam masa singkat. Mujurlah perhimpunan itu tidak sampai menjadi rusuhan," katanya.

Mat Akhir berkata, dalam perhimpunan itu, seorang daripada pekerja kilang mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sementara itu  katanya, bagi mendedahkan kejadian sebenar pihaknya turut membawa wakil pekerja asing itu ke HSB bagi mendapatkan penerangan lanjut daripada doktor mengenai punca kematian rakan mereka.

“Dalam perjumpaan itu, doktor memaklumkan kepada mereka bahawa punca sebenar kematian rakan mereka ialah disebabkan masalah kesihatan manakala seorang lagi disebabkan kemalangan,” katanya.

Mat Akhir berkata, dalam pada itu beliau turut difahamkan kebanyakan pekerja di kilang berkenaan sering mengambil minuman keras tidak berjenama hingga berkemungkinan boleh membawa maut.

Tambah beliau, di samping itu, faktor lain antaranya  pemakanan, kediaman serta persekitaran yang tidak baik menyebabkan kehidupan mereka terdedah kepada masalah kesihatan.

Bagaimanapun, bagi memenuhi permintaan dan memuaskan hati pekerja warga asing itu, pihak pengurusan kilang turut membenarkan mereka menggunakan khidmat bomoh atau sami bagi menghalau hantu yang menurut kepercayaan mereka wujud di sekitar kawasan kediaman itu.

Posted on 11:18 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

HAH ALAM- Guru Besar SK Kajang Utama, Kajang dihukum penjara 3 tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan, meminta serta memperoleh suapan RM3,000, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim, M. Bakri Abdul Majid terhadap Abdul Samad Abdul Ghani, 50.

M. Bakri dalam penghakimannya berkata, pembelaan Abdul Samad adalah rekaan semata-mata supaya disesuaikan bagi menyatakan wang rasuah tersebut untuk sumbangan sekolah.

"Mahkamah tidak terima pembelaan tersebut berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan termasuklah keterangan pakar yang mengesahkan terdapat pindaan pada borang permintaan sumbangan,"katanya.

Lelaki itu didakwa meminta dan memperoleh rasuah RM3,000 daripada pengusaha kantin, Zainun Hussain bagi menyambung kontrak kantin sekolah bagi sesi 2013.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di  SK Kajang Utama, Kajang, jam 11 pagi pada 8 dan 14 November 2011.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaan Raya, Mukhriz Mat Rus mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Peguam, Hazman Harun  yang mewakili anak guamnya memohon penangguhan hukuman penjara untuk memfailkan rayuan.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan jaminan RM8,000.

Posted on 11:16 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments


KEBANYAKAN media sosial dan blogger kini sibuk memperkatakan fenomena pelik yang berlaku di seluruh dunia dan didakwa sebagai tanda awal kiamat.

Negara beriklim tropika dan panas mula menerima kesan akibat perubahan cuaca mendadak pada tahun ini dan sebahagian kawasan seperti Mesir serta Vietnam turut dilitupi salji tebal.

Perubahan magnet pada kerak bumi menyebabkan Kutub Utara bergerak dengan lebih cepat ke arah Siberia untuk berada pada kedudukan 40 darjah.

Beberapa kajian mendapati pergerakan itu berlaku semakin laju iaitu pada jarak 42 km sebulan dan dianggarkan berganjak sebanyak 2 km sehari pada 2013.

Ia merentasi garisan Khatulistiwa untuk berada pada kedudukan 40 darjah di selatan.

Jika keadaan itu berlaku, seluruh permukaan bumi berkemungkinan akan berubah seperti dipaparkan dalam filem sains fiksyen berjudul '2012'.

Paling memeranjatkan, kawasan Amerika Selatan terutamanya Brazil didakwa akan menjadi Kutub Utara manakala India menjadi Kutub Selatan.
Bagaimana dengan nasib Malaysia? Ia dikatakan akan membeku dan berada sebaris dengan India, sekali gus meletakkan garisan Khatulistiwa berada di Antartika.

Bandar pesisir pantai bakal tenggelam dan Australia Barat dipercayai turut mengalami nasib sama serta setengah negara mengalami waktu siang atau malam lebih panjang.

Fenomena medan kutub bumi menyongsang dikhuatiri mengakibatkan bencana alam lebih dahsyat seperti taufan, gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Selain itu, ia juga akan memberi kesan besar kepada ekosistem dan migrasi haiwan yang selama ini bergantung kepada perubahan musim dan iklim di sesuatu kawasan.

Medan magnet bumi juga akan menjadi lemah dan terdedah kepada fenomena ribut suria serta sinaran kosmik iaitu partikel bertenaga tinggi dan gelombang elektromagnet dari angkasa lepas.

Pergerakan kutub memang sedang berlaku dan ia boleh dilihat menerusi kejadian bencana alam yang didakwa berpunca daripada pemanasan global dan perubahan iklim secara mendadak sejak akhir-akhir ini.

Pelbagai teori didedahkan menyebabkan saintis menganggarkan medan magnet akan menyongsang dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan pergerakan kutub yang semakin laju.

Adakah keadaan itu akan berlaku atau ia hanya sebuah lagi spekulasi seperti ramalan kiamat 2012 yang digembar-gemburkan pada tahun lalu?

Kiamat menurut Islam

Beberapa hadis dan ayat al-Quran ada menjelaskan persoalan mengenai hari kiamat:

Ibnu Umar RA berkata, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan ALLAH iaitu:

1) Tiada mengetahui apa tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan ALLAH.

2) Tiada siapa mengetahui apa akan terjadi esok hari melainkan ALLAH.

3) Tiada seorang pun mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan ALLAH.

4) Tiada seorang pun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan ALLAH.

5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan ALLAH.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Adakah fenomena pelik melibatkan perubahan ekstrem cuaca dunia dan bencana alam dahsyat adalah satu peringatan atau petanda kepada manusia di akhir zaman?

Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, ‘Tidak akan tiba hari kiamat sehingga ilmu pengetahuan (agama) dilenyapkan, banyak gempa bumi, masa saling berdekatan (semakin singkat), banyak timbul fitnah, banyak huru-hara iaitu pembunuhan, hingga harta benda melimpah ruah di antara kamu.'

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Sebagai orang Islam, kita wajib percaya bahawa hari kiamat merupakan Rukun Iman ke- 5 akan tiba seperti diterangkan dalam al-Quran.

ALLAH SWT berfirman :
Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba.” Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang bari kiamat itu adalah di sisi ALLAH, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Al-A’raf, Ayat 187)


Dan juga pada ayat:
Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi ALLAH.” Dan tahukah kamu (Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.
(Surah Al-Ahzab, Ayat 63)

Posted on 11:14 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

Rabu, 1 Januari 2014


Tamat sudah 'honey moon' buat anda bergelar pelajar. Tidak ada lagi istilah rehat panjang, pulang ke kampung dan bekerja sampingan kerana bermula esok semua sekolah dibuka untuk memulakan sesi pembelajaran seperti biasa.

MASA DEPAN
Antara mahu dan tidak mahu, anda perlu rajin ke sekolah. Sekolah merupakan lokasi yang akan menentukan hala tujuan anda pada masa hadapan. Sama ada anda anak orang berada atau dari keluarga sederhana, peraturan tetap sama. Silibus pembelajaran yang dipelajari tetap sama. Penglibatan kokurikulum turut perlu dititikberatkan dan begitu juga dengan kegiatan persatuan pakaian seragam. Ada sebab mengapa pihak sekolah mahu anda bergiat aktif ketika di sekolah. Bukan semata-mata mahu melahirkan pelajar yang hanya cemerlang di sekolah tetapi mahu memberi pelajar mendapat tempat di universiti.

KERJA SEKOLAH
Ramai pelajar silap akan istilah cuti sekolah. Kebanyakan pelajar mengeluh kerana guru memberi banyak kerja sekolah untuk disiapkan sepanjang cuti sekolah. Cuti sekolah bukan bermaksud anda bercuti tanpa tidak menyentuh buku, alat tulis mahupun mengulangkaji pelajaran. Cuti sekolah bermaksud anda tidak perlu ke sekolah untuk berjumpa guru tetapi buku tetap diulangkaji. Oleh demikian, jangan lupa siapkan kerja sekolah, kerja khusus, projek dan sebagainya untuk dihantar pada keesokan hari.

TEPIS MALAS
Sememangnya, cuti sekolah dua minggu yang berlalu ini memberi satu perasaan baru untuk memulakan persekolah. Rasa malas untuk bangun awal, mengemas beg, menyediakan pakaian seragam yang bersih dan sebagainya dijadikan alasan kuat untuk anda malas lakukan. Anda perlu tahu bahawa setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab tersendiri. Meskipun anda belum masuk ke dunia pekerjaan tetapi seorang pelajar juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dibuat. Jika anda melakukan tugas seperti seorang pelajar, ganjaran anda dapat dilihat satu hari kelak. Pekerjaan yang baik, pendapatan yang selesa dan sebagainya bakal anda terima.

Ayuh bangkit dan bersiap siaga untuk kembali ke sekolah kerana di sekolah adalah lokasi terbaik untuk anda mencapai cita-cita pada masa hadapan. Selamat kembali dan selamat belajar!

Posted on 4:19 PG by sidiazzehairulazhar

No comments