Sabtu, 27 Disember 2014

Pesawat AirAsia dari Surabaya ke Singapura dilapor hilang

Pesawat AirAsia dari Surabaya ke Singapura dilapor hilangSebuah pesawat penerbangan AirAsia dari Surabaya ke Singapura hilang komunikasi dengan menara kawalan pada Ahad.
KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat penerbangan AirAsia dari Surabaya ke Singapura hilang komunikasi dengan menara kawalan pada Ahad.

Pesawat QZ8501 itu terputus hubungan dengan menara kawalan Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan, menurut kenyataan syarikat penerbangan tersebut.

“AirAsia Indonesia mengesahkan penerbangan QZ8501 dari Surabaya ke Singapura telah terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 0724 pagi ini.

“Pada ketika ini, kami tidak dapat memberikan butiran lanjut berhubung status penumpang dan kru pesawat.”



Flightradar24 dalam tweetnya melaporkan pesawat tersebut hilang komunikasi dengan menara kawalan di Laut Jawa di antara Pulau Kalimantan dan Pulau Jawa.



Dalam perkembangan sama, Direktor Angkutan Udara Kementerian Perhubungan Indonesia, Djoko Murjatmojo mengesahkan pesawat tersebut hilang dalam pemantauan radar.

"Ketika ini saya berada di menara kawalan untuk menunggu laporan yang masuk."

Pihak kementerian, menurutnya, akan memberikan keterangan rasmi berhubung kehilangan pesawat AirAsia tersebut.

Penerbangan QZ8501 itu menggunakan pesawat Airbus 320 dengan nombor pendaftaran PK-AXC.

Pesawat membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada jam 5.20 pagi dan sepatutnya mendarat di Singapura pada jam 8.30 pagi waktu tempatan.

Sejurus sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan, pesawat itu dilaporkan meminta laluan berbeza.

Stesen TV Indonesia Kompas TV melaporkan pesawat tersebut membawa 149 rakyat Indonesia, tiga rakyat Korea, dan masing-masing seorang rakyat Singapura, British dan Malaysia.

Daripada jumlah itu, 138 ialah dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi.

AirAsia telah menyediakan Pusat Panggilan Kecemasan di nombor +622129850801untuk keluarga dan rakan kru serta penumpang pesawat tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes melalui tweetnya memberitahu satu kenyataan terbaharu akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Kami akan keluarkan satu lagi kenyataan nanti. Terima kasih atas ingatan dan doa. Kita harus tabah.”

Posted on 9:14 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

Khamis, 25 Disember 2014

Muhyiddin arah tingkatkan aset udara, air dan udara di Kelantan

Muhyiddin arah tingkatkan aset udara, air dan udara di KelantanTimbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan keperluan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang keadaan banjirnya disifatkan sebagai serius. -Gambar fail
KOTA BAHARU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan keperluan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang keadaan banjirnya disifatkan sebagai serius.

Beliau berkata arahan itu diputuskan setelah beliau mendapat taklimat terkini tentang bencana alam itu, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa di sini, hari ini untuk melihat sendiri situasi banjir di negeri ini.

"Daripada taklimat tadi, kita dapati ia masih tidak mencukupi kerana banjir ini luar jangkaan. Bot yang disediakan mungkin tak cukup, helikopter, telah kita sediakan tujuh... bilangan masih tidak memadai.

"Sebab itu saya telah beri arahan supaya aspek logistik dipertingkatkan lagi di mana aset seperti helikopter, bot tambahan akan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1, di sini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Negera Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Posted on 9:57 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments

kini:Disember 26, 2014 

Henti sebar berita palsu tentang keretakan Empangan Batu - Azmin AliMOHAMED AZMIN: Saya minta berita-berita palsu seperti ini dihentikan kerana ia boleh menimbulkan keadaan yang tidak harmoni di dalam masyarakat dan menimbulkan kebimbangan. -Gambar fail
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hari ini menyeru pihak tertentu agar menghentikan perbuatan menyebarkan berita palsu ketika negara berdepan bencana banjir teruk yang kian meruncing di negeri-negeri di Pantai Timur.

Mohamed Azmin mengulas khabar angin kononnya kerajaan Selangor telah melepaskan air dari Empangan Batu ekoran parasnya yang terlalu tinggi dan struktur binaan yang mengalami rekahan.

Mohamed Azmin berkata penyebaran berita palsu seperti itu tidak membantu situasi yang sedang dihadapi sekarang.

“Mulai semalam, tersebar berita palsu bahawa empangan Batu mengalami keretakan dan pelepasan air telah dibuat.

“Saya minta berita-berita palsu seperti ini dihentikan kerana ia boleh menimbulkan keadaan yang tidak harmoni di dalam masyarakat dan menimbulkan kebimbangan.

"Saya ingin menegaskan bahawa Empangan Batu adalah di bawah kawalan pejabat pengurusan Lembaga Sungai Klang, di bawah pengurusan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Bukannya JPS Selangor,” tegasnya dalam sidang media hari ini.

Tambahnya lagi, JPS Wilayah Persekutuan telah mengesahkan bahawa tiada pelepasan air dilakukan pada 25 dan 26 Disember seperti berita yang disebarkan.

“JPS Wilayah Persekutuan juga mengesahkan tiada berlaku keretakan atau apa-apa kerja pembaikan empangan seperti yang disebarkan.

“Saya berharap berita ini dapat dihentikan kerana ia tidak membantu situasi yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Berita yang tersebar melalui laman media sosial dan aplikasi Whatsapp sejak semalam itu meminta penduduk di sekitar kawasan itu mengalihkan kenderaan masing-masing ekoran pelepasan air tersebut.

Posted on 9:48 PTG by sidiazzehairulazhar

No comments