Muhyiddin arah tingkatkan aset udara, air dan udara di Kelantan

Muhyiddin arah tingkatkan aset udara, air dan udara di KelantanTimbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan keperluan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang keadaan banjirnya disifatkan sebagai serius. -Gambar fail
KOTA BAHARU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan keperluan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang keadaan banjirnya disifatkan sebagai serius.

Beliau berkata arahan itu diputuskan setelah beliau mendapat taklimat terkini tentang bencana alam itu, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa di sini, hari ini untuk melihat sendiri situasi banjir di negeri ini.

"Daripada taklimat tadi, kita dapati ia masih tidak mencukupi kerana banjir ini luar jangkaan. Bot yang disediakan mungkin tak cukup, helikopter, telah kita sediakan tujuh... bilangan masih tidak memadai.

"Sebab itu saya telah beri arahan supaya aspek logistik dipertingkatkan lagi di mana aset seperti helikopter, bot tambahan akan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1, di sini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Negera Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.