Jerebu: Henti operasi jika jarak penglihatan kurang satu batu nautika - Liow
Menurut Liow (gambar), sekiranya jarak penglihatan kurang satu batu nautika akibat jerebu, bot nelayan dan kapal kecil perlu menghentikan operasi. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bot-bot nelayan dan pesawat udara perlu menghentikan operasi mereka sekiranya jarak penglihatan semakin terhad akibat situasi jerebu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan pihaknya telah mengarahkan Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Penerbangan Awam untuk mengeluarkan amaran jerebu kepada pesawat dan kapal yang beroperasi di semua lapangan terbang dan pelabuhan.

Menurut Liow, sekiranya jarak penglihatan kurang daripada satu batu nautika akibat jerebu, bot nelayan dan kapal-kapal kecil perlu menghentikan operasi atas faktor keselamatan.

"Begitu juga dengan pesawat-pesawat udara, sekiranya jarak penglihatan kurang daripada 600 meter, maka pendaratan di lapangan terbang akan menjadi sangat berbahaya kerana pandangan tidak jelas akibat jerebu," katanya selepas merasmikan Konvensyen MCA Negeri Selangor di Wisma MCA, pada Ahad.

Jelas Liow, setakat 11 pagi, satu pesawat dari Bangkok ke Kuala Lumpur telah dilencongkan berikutan masalah jerebu.

"Ada beberapa pesawat semalam dilencongkan dari Ipoh. Pesawat dari Singapura itu sepatutnya mendarat di Ipoh namun telah dilencongkan ke KLIA.

"Hari ini juga ada pesawat dari Thailand telah dilencongkan ke kawasan lain," kata Liow.

Sementara itu, Pengarah Sektor Pengurusan Kawalan Udara Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Ahmad Nizar Zolfakar yang dihubungi Astro AWANI telah mengesahkan pesawat Thai Air Asia telah dilencongkan pada pagi Ahad.

Pesawat itu yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA Sepang pada jam 9.35 pagi Ahad terpaksa dilencongkan berikutan masalah jerebu.

Semalam, pesawat Tiger Airways dari Singapura ke Ipoh yang dijadualkan mendarat jam 9.15 pagi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah turut dilencongkan ke K-L-I-A berikutan masalah jerebu yang menjejaskan jarak penglihatan hingga 600 meter.
Setakat ini, Ahmad Nizar juga berkata tiada perubahan kepada laluan trafik udara dan keadaan masih terkawal.