SPM 2015 diteruskan walaupun jerebu - Mahdzir
Peperiksaan SPM yang bermula 2 November depan tidak boleh ditangguhkan hanya kerana segelintir calon menghadapi masalah pernafasan akibat keadaan jerebu. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 yang dijadual berlangsung pada November akan diteruskan walaupun jerebu yang melanda negara masih belum ada sebarang tanda untuk reda.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peperiksaan SPM yang bermula 2 November depan tidak boleh ditangguhkan hanya kerana segelintir calon menghadapi masalah pernafasan akibat keadaan jerebu.

"Tidak boleh ditangguhkan SPM kerana ia melibatkan 400,000 calon dan hanya segelintir sahaja calon yang mempunyai masalah pernafasan kesan daripada jerebu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan (KPM) kini mempertimbangkan untuk menyediakan bilik atau ruang khas bagi calon peperiksaan SPM yang menghadapi masalah pernafasan ketika menduduki peperiksaan dalam keadaan jerebu.

"Tiap-tiap sekolah kami sudah tahu jumlah pelajar yang kesihatan tidak baik, kami akan ambil tindakan kalau jerebu masih tinggi ... SPM nanti kita masih boleh buat dalam bilik tertentu," katanya.

Mengenai sesetengah kakitangan sekolah yang diminta bekerja walaupun sekolah diarahkan tutup, Mahdzir berkata itu tertakluk kepada budi bicara pengetua setiap sekolah dan lebih kepada sukarela dan bukan secara paksaan.

"Ini lebih kepada sukarela, dekat nak periksa ni banyak yang perlu diselesaikan di sekolah, ada pengetua minta tolong datang untuk selesaikan beberapa perkara.

"Ini atas sukarela. Kalau ada persetujuan dua pihak tak apa, kalau ada paksaan yang tak boleh," katanya.

Mahdzir turut menegaskan Kementerian tetap mengambil berat terhadap sesi pembelajaran yang mungkin terganggu akibat penutupan sekolah kerana keadaan jerebu yang teruk.

Sebelum itu, KPM mengeluarkan kenyataan semua sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, daerah Kuching dan Samarahan  di Sarawak, Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak di Sabah serta Muar, Ledang dan Segamat di Johor ditutup esok akibat jerebu.
Penutupan itu membabitkan 3,029 sekolah dan 1,909,842 murid, menurut kenyataan itu.

Hari ini, sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Tawau di Sabah dan Kuching dan Samarahan di Sarawak juga diarah tutup susulan jerebu.