Nestle mulakan 2016 dengan prestasi cemerlang
Nestle Malaysia berkata keputusan baik ini diterajui oleh jualan domestik dan pertumbuhan eksport.
KUALA LUMPUR: Nestlé Malaysia Berhad memulakan tahun kewangannya dengan mencatatkan hasil lebih tinggi berjumlah RM1.3 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2016.

Angka ini merupakan lonjakan 2.8 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Dalam satu kenyataan, Nestlé Malaysia berkata keputusan baik ini diterajui oleh jualan domestik dan pertumbuhan eksport.

Pengarah urusannya Alois Hofbauer berkata prestasi ini dicapai berlandaskan inisiatif pemasaran dan promosi kukuh oleh kumpulan, disokong oleh pelancaran produk pada 2015.

Hasilnya ia terus membawa manfaat kepada kumpulan pada tahun 2016.

Kumpulan itu juga meraih untung kasar lebih tinggi dengan mencatatkan peningkatan 4.6 peratus kepada RM521.5 juta.

Ia disokong oleh perolehan yang bertambah dan trend positif dalam harga bahan mentah walaupun diimbangi oleh tukaran mata wang asing yang lebih tinggi.

Sementara itu untung bersih bagi tempoh ini meningkat kepada RM220.7 juta, kenaikan 17.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tahun 2016, kata Hofbauer, dijangka mencabar dengan keadaan pasaran yang tidak stabil dan sentimen pengguna yang lemah.
Namun beliau yakin dapat mengharungi suasana ekonomi yang sukar ini dengan asas perniagaan yang mantap.