SUMBER OLEH ASTRO AWANI 
24 August 2015

Penyusutan ringgit akan tarik lebih ramai rakyat Singapura melawat Malaysia
Ringgit, serta mata wang serantau turut menyusut ekoran pengukuhan dolar US serta harga minyak mentah yang rendah. -Gambar fail
SINGAPURA: Ringgit yang lemah akan menarik lebih ramai pelawat dari Singapura mengunjungi Malaysia, kata Pengarah Tourism Malaysia (Singapura) Noor Aine Ismail.

"Ramai dilihat memanfaatkan mata wang Malaysia yang lemah untuk mengunjungi Malaysia memandangkan Malaysia kini merupakan destinasi nilai untuk wang," katanya kepada Bernama selepas makan tengah hari yang dianjurkan untuk peserta '3 Nations Merdeka Ride 2015' oleh Malaysia Agrobazaar di Singapura, pada Ahad.

Lebih 90 penunggang Harley Davidson dari tiga negara - Malaysia, Singapura dan Indonesia - mengambil bahagian dalam acara itu.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Kamsiah Kamaruddin dan Ketua Kaunselor/Canseri Nur Azman Abdul Rahim.

Noor Aine diminta mengulas mengenai impak ketibaan pelancong dari Singapura ke Malaysia susulan penurunan nilai ringgit berbanding dolar Singapura.

Ringgit susut ke paras terendah berbanding dolar Singapura Jumaat lepas kepada 2.9708 pada 12 tengah hari berbanding 2.9463 pada penutup Khamis.

Ringgit, serta mata wang serantau turut menyusut ekoran pengukuhan dolar US serta harga minyak mentah yang rendah.

Pada minggu yang baru berakhir, ringgit susut berbanding dolar US pada 4.1800/1880.

Menurut Noor Aine, Singapura kekal sebagai pasaran utama pelancongan, menyumbang lebih daripada 50 peratus ketibaan pelawat ke Malaysia.

Beliau berkata antara Januari dan September 2014, ketibaan pelawat dari Singapura menunjukkan pertumbuhan positif 10.6 peratus kepada 10.48 juta berbanding 9.47 juta pelancong yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2013.
"Kami menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong Singapura tahun ini dan berharap mereka akan mengambil kesempatan ke atas penurunan ringgit untuk mendapat perkhidmatan dan kualiti barangan terbaik yang ditawarkan Malaysia," katanya.